MUTIARA KATA
"Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Iaadalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagimereka yg hanya mengikut kehendak hati tidak sanggupmenerima penderitaan.”
Berita...
Program Cinta Masjid TV AlHijrah @ Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
23 Jun 2012

Hujung minggu lalu, telah pun berlangsung program Cinta Masjid bersama TV AlHijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Program yang mendapat sambutan hangat itu diadakan pertama kali pada 4 dan 5 Febuari 2012 di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur. Majlis kali kedua pula berlangsung pada 14 April 2012 yang lalu di Masjid Al-Azim, Pandan Indah.
 
Untuk penganjuran kali ketiga ini, Kumpulan Media Karangkraf sekali lagi memeriahkan program yang diadakan selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad, 16 dan 17 Jun 2012. Selain aktiviti jualan, booth Karya Bestari dan Grup Buku Karangkraf turut menampilkan penulis-penulis Karya Bestari mengisi ruang sesi bertemu peminat buku sepanjang dua hari program. Antara penulis yang hadir termasuklah Prof. Madya Mohd Nor Mamat, Anwar Nursi, Siti Marziah Zakaria dan Muhammad Nazir Mohammed Khalid.

Pada hari pertama program, penulis buku Takluk Hati Pasangan, Prof. Madya Mohd Nor Mamat turut diundang untuk bersiaran secara langsung dari lokasi program Cinta Masjid memperkatakan tentang karya beliau menerusi rancangan Assalamualaikum. Rancangan bual bicara itu disiarkan bermula jam 8 pagi di TV AlHijrah saluran Astro 114.
 
Alhamdulillah, sambutan terhadap buku-buku bergenre islamik juga menampakkan peningkatan dari hari ke hari. Terima kasih kepada pihak penganjur, para pengunjung dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana memberi sokongan terhadap program murni seumpama ini. Semoga usaha Grup Buku Karangkraf dan Karya Bestari mengimarahkan masjid ini akan terus menyuburkan lagi rasa sayangkan masjid dan cintakan ilmu, insyaALLAH.