hijabku bukan pengganti perhiasanku

 

Syaitan apabila dia sudah berputus asa untuk mengajak kita kepada kejahatan, maka dia akan bersungguh-sungguh mengajak kita membuat kebaikan yang 'dihiasi' kejahatan dan kemaksiatan. Menutup aurat jelas wajib, maka bila gagal memujuk pelakunya membuka aurat, maka dia 'menghiasi' kebaikan itu dengan unsur-unsur maksiat.

Pakaian sudah labuh, tebal dan longgar, tapi solekan pada wajah menarik mata-mata lelaki untuk memandang.

Muka sudah habis ditutup niqab, tapi mata dihiasi solekan hebat sehingga lelaki berpaling berkali-kali.

Rambut sudah diselindung kemas dengan tudung atau shawl tanpa nampak walau seurat, tetapi hiasan berkilau dan sarat memanggil tatapan tajam daripada jejaka.

Ladies, kamu diperintahkan menutup aurat adalah kerana untuk melindungi keindahanmu. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan kerisauannya tentang kamu, ladies.

Kamu diperintahkan agar menutup kecantikan dan keindahanmu kepada semua kecuali kepada mahrammu (dengan batasan) dan suamimu.

Diperintahkan kamu agar menutup aurat, supaya lawan jantinamu nanti, inshaAllah akan merendahkan pandangan mereka.

Tapi janganlah kamu menutup auratmu tapi 'membukanya' pada jalan yang lain.

Kerana berpakaian muslimah itu bukan bertujuan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik dan menzahirkan lagi keindahanmu tetapi kerana tujuannya itu adalah untuk menutup kecantikan itu daripada pandangan lelaki.

Cukuplah bersederhana, dan sentiasa kemas.

Kepada lelaki juga, rendahkan pandanganmu, biar apa pun penampilan wanita yang sedang berada di sekelilingmu. Kerana kamu lebih awal diperintahkan agar merendahkan pandanganmu!

Firman Allah SWT,

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. (An-Nur: 30)


Firman Allah SWT lagi dalam ayat seterusnya,

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (An-Nur: 31)

 

KALENDAR