jangan tertipu dengan pandangan mata

 

Dalam rumah tangga, setiap pasangan hendaklah benar-benar berpegang kepada prinsip jangan mudah percaya dengan apa yang dilihat mata. Sebaliknya mereka hendaklah berusaha untuk mendapatkan penjelasan yang jelas serta menjauhi segala sangka buruk dan andaian terhadap sesuatu perkara.

Perkara ini amat penting, khususnya bila wujud perselisihan. Janganlah dihukum pasangan kita dengan sekadar apa yang kelihatan di hadapan mata. Sebaliknya perhatikanlah kisah yang berselindung di sebalik perkara.

Kehidupan ini rumit. Maka rugilah mereka yang berfikiran singkat dan membuat keputusan secara gopoh tanpa membuat penilaian yang saksama serta bijaksana. Dalam rumah tangga, pandangan mata hendaklah sentiasa digilap dengan iman dan takwa serta diperkukuhkan dengan hati yang lurus dan berfikiran jauh ke hadapan.

Misalnya bila isteri melihat suaminya pulang ke rumah kepenatan, maka jangan hanya dilihat tetapi pergilah mengambil air minum, membantunya mengangkat barang-barang yang dibawa jika ada, melayaninya sambil berfikir apa lagi yang boleh dilakukan bagi membantu suami sekiranya keadaan yang sama berulang.

Perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh suami apabila melihat isterinya sedang dalam kesedihan atau kepenatan menguruskan rumah tangga dan anak-anak yang pelbagai ragam.

Jangan dilihat dengan mata lalu berakhir dengan mulut, atau sekadar senyuman atau pandangan yang tidak bermakna. Tapi susulilah pandangan tersebut dengan pertanyaan berupa belas ihsan, mengambil berat, menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang, senda gurau yang menghiburkan hati dan berfikir apa yang boleh dilakukan pada masa hadapan untuk membantu meringankan beban isteri di rumah.

Setiap orang sudah tentu mudah percaya pada sesuatu khabar atau berita jika dapat dilihat kejadiannya berlaku di hadapan mata berbanding sekadar mendengarnya. Namun, hendaklah kita menyedari bahawa apa yang dilihat dengan mata kasar itu tidak semestinya hakikat yang sebenar. Ini kerana lemahnya ilmu dan keupayaan kita dalam menilai serta menghukum setiap perkara.

Maka dalam hubungan suami isteri, apa yang penting ialah pasangan sentiasa meletakkan kepercayaan serta saling bersangka baik kepada Allah, disamping berusaha memperbaiki diri dan pasangan agar menjadi lebih hampir pada-Nya. Ini kerana kebahagiaan itu terletak di tangan-Nya sehingga apabila semakin hampir seseorang itu dengan Allah, maka akan semakin bahagialah dirinya.

Setiap kali kita memandang atau mendengar sesuatu yang buruk tentang pasangan kita, maka hendaklah kita terlebih dahulu menutupinya dengan bersangka baik dan berdoa untuknya dengan perkara yang baik sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Begitulah kehidupan, ia terlalu rumit untuk ditafsir dengan mata kasar sehingga memerlukan kita agar sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah dan berserah pada-Nya sambil memohon petunjuk serta pedoman daripada-Nya.

KALENDAR