SMARTPHONE RACUN RUMAH TANGGA

Kewujudan teknologi pada zaman kini mempunyai banyak kebaikan. Antara teknologi yang sering digunakan ialah smartphone yang mempunyai pelbagai aplikasi seperti facebook, wechat, chatting dan lain-lain. Tidak dinafikan bahawa semuanya memudahkan urusan kerja dan komunikasi di antara manusia.

Kemudahan teknologi yang ada boleh juga membawa kepada keburukan jika digunakan secara berlebih-lebihan yang boleh menyebabkan ketagihan. Ia akan memberi kesan yang negatif kepada kehidupan termasuklah alam rumah tangga.

Seorang isteri dan ibu yang gemar dan leka dengan smartphone sehingga mengabaikan tanggungjawabnya dalam keluarga adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Ini kerana Allah kurniakan anak-anak kepada kita adalah sebagai ujian iaitu sama ada kita menunaikan tanggungjawab dan memberikan hak-hak yang sepatutnya kepada mereka ataupun tidak.

Firman Allah SWT, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian.” (Surah al-Anfal: 28)

Namun, jika kita mengikut garis panduan dan batasan-batasan dalam penggunaan smartphone, perkara-perkara sedemikian boleh dihindarkan. Antaranya adalah menggunakan smartphone mengikut keperluan dan masa yang sesuai. Ada sebahagian waktu yang tidak sesuai untuk kita gunakannya seperti ketika makan semeja bersama keluarga dan di hadapan anak-anak yang sedang belajar. Begitu juga penggunaan yang mengikut keperluan yang sewajarnya seperti urusan kerja dan tidak menggunakannnya dalam tempoh waktu yang terlalu lama.

Apabila hal tersebut dilakukan, maka kerja-kerja rumah tidak terganggu dan terabai. Di samping menjadi contoh yang baik kepada anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh dan terikut dengan perkara-perkara yang tidak berfaaedah seperti yang kita lakukan.

Selain itu, setiap isteri dan ibu hendaklah menjaga maruah diri termasuk ketika menggunakan smartphone.

“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya.” (Surah al-Nisa’: 34)

Setiap perkara yang dikongsikan melalui smartphone hendaklah tidak merendahkan dan menjatuhkan kehormatan diri sebagai seorang isteri. Contohnya, memperlihat gambar yang menutup aurat, sopan dan tidak menimbulkan syahwat lelaki. Menggunakan juga perkataan-perkataan yang baik dan menjaga batasan pergaulan dengan lelaki-lelaki yang bukan muhrim.

Semua ini agar hati tidak menjadi semakin keras disebabkan dosa-dosa yang biasa dilakukan. Dosa-dosa seperti inilah akan menyebabkan kita mudah dipengaruhi oleh syaitan. Kemudian terdorong dalam melakukan dosa yang lebih besar seperti mengabaikan kewajipan-kewajipan yang wajib dilaksanakan.

Firman Allah SWT, “Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am: 43)

Oleh itu, sama-samalah kita mengutamakan agama melebihi segala-galanya dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan. Rasulullah SAW pernah berpesan dalam sebuah hadis yang panjang, mafhumnya, “… Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan jaga kamu…” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA