15 MINIT SEHARI, 7 KALI SEMINGGU

Dengan hanya 10 hingga 15 minit sehari, kita sudah mampu membaca sekurang-kurangnya dua muka surat al-Quran beserta terjemahannya.

Luangkanlah masa 15 minit sehari sekali untuk membaca al-Quran yang sudah dijamin dapat menyelamatkan kita di akhirat. Jika kita tidak pandau membacanya, berusahalah untuk mempelajarinya. Carilah ustaz atau ustazah yang dapat mengajar kita mengaji. Tidak perlu malu dengan tanggapan orang lain, tetapi malulah dengan tanggapan Allah SWT.

Apalah salahnya kita membayar sejumlah wang untuk menghadiri kelas belajar al-Quran. Jika kita sanggup membayar ratusan ringgit untuk sekali makan di restoran ternama, tidakkah kita dapat lihat betapa besar ganjarannya jika sanggup laburkan jumlah yang sama bagi mendapatkan ilmu al-Quran?

Ada juga ibu bapa yang bukan sahaja mereka sendiri ‘buta’ tentang al-Quran, tetapi turut membiarkan anak-anak juga mengalami nasib yang sama. Jika kita tidak mampu mengajar mereka di rumah, ada pelbagai lagi cara seiring dengan zaman sekarang yang serba canggih ini. Misalnya, mengupah guru al-Quran datang mengajar di rumah, menggunakan al-Quran digital, mendengar atau berpandukan bacaan-bacaan qari dan qariah utama yang boleh dimuat turun percuma mahupun berbayar di aplikasi pintar milik kita. Persoalannya, kita mahu atau tidak sahaja?

Selain itu, kita juga perlu beringat sekiranya hati kita yang gelisah atau rezeki selalu tidak cukup, cubalah amalkan membca beberapa helaian al-Quran sehari. Jadikanlah ia suatu kelaziman. Tanamkan di dalam hati semangat untuk mendahulukan membaca kitab suci ini sebelum melakukan tugasan harian yang lain. Cubalah tingkatkan bacaan dari sehari ke sehari. Insya-Allah… kita akan dapat lihat hasilnya nanti.

Di samping itu, cuba kita baca tafsirannya pula. Fahami sebab turun ayat, maksud cerita, suruhan dan larangan Allah SWT. Hati kita akan terasa lebih dekat dengan-Nya. Kadangkala, dengan izin-Nya juga kita akan menjumpai ayat-ayat yang ‘kena’ dengan situasi kehidupan kita kini. Lalu ia membuatkan kita berasa tenang dan tidak bimbang lagi. Jika dirasakan hidup ini sentiasa sukar, melalui cerita dalam al-Quran kita akan tahu hidup Nabi Yusuf pun susah dan acapkali ditimpa musibah.     


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA