Sedih...

1) Al Quran merakamkan kesedihan Nabi Yaakob untuk melepaskan Nabi Yusof keluar bersama dengan saudara-saudaranya melalui ayat 13 surah Yusof. Sebahagian ahli tafsir mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan betapa sedihnya Nabi Yaakob ‘melepas’kan Nabi Yusof pergi dengan saudara-saudaranya walaupun mereka itu adik beradik kepada Nabi Yusof. Namun, Nabi Yaakob melepaskan juga Nabi Yusof pergi lantaran tidak sanggup untuk menghalang keinginan Nabi Yusof untuk pergi bermain dengan saudaranya.

2) Saidina Umar kehilangan saudaranya Zaid ibn Al Khatab semasa peperangan di Yamamah dan dia sangat berduka dengan kehilangan itu. Namun saat Umar berjumpa dengan Mutammim bin Nuwairah, seorang tentera Islam yang buta, Umar menyaksikan kesedihan Mutammim lebih mencengkam jiwa. Umar meminta Mutammim bin Nuwairah mendendangkan ungkapan syair kepada sahabat yang juga saudaranya yang telah pergi. Kata Mutammim:

“Kami ialah dua sejoli yang menempuh selang waktu sehingga kami takkan dapat dipisahkan. Kata orang setelah berpisah, kami sentiasa tidur bersama setiap malam kerana lamanya bersatu.”

Saat Umar bertanyakan sejauh mana kesedihan Mutammim bin Nuwairah, dia mengatakan bahawa dia menjadi buta kerana tangisan kesedihan atas kehilangan saudara yang sangat dikasihinya dan sehingga itupun, di mata yang buta itu masih berlinangan air mata lantaran kesedihan yang amat sangat. Lantas Umar berkata:

 “ Itu adalah kesedihan yang luar biasa. Tidak pernah ada seseorang yang bersedih seperti itu kerana kehilangan orang yang dicintainya”.

3) Saat wabak Amwas melanda Syam pada tahun 18 Hijrah (sebahagian ahli sirah mengatakan itu adalah Taun), Saidina Umar mengutus surat supaya Abu Ubaidah Al Jarrah keluar dari Syam. Umum mengetahui bahawa Abu Ubaidah adalah sahabat yang paling dicintai Umar sehingga ada sebahagian ahli sejarah menyatakan sekiranya Abu Ubaidah masih hidup nescaya mungkin Umar akan melantik Abu Ubaidah menjadi khalifah selepasnya. Saat menerima surat daripada Saidina Umar, Abu Ubaidah mengerti maksud Saidina Umar yang mahukannya keluar dari Syam. Namun, Abu Ubaidah menjawab kembali surat Saidina Umar yang antara lain membawa maksud yang dia ingin terus kekal di Syam bersama barisan tentera Muslimin. Saat Umar menerima balasan surat dari Abu Ubaidah, Umar menangis dengan sangat teresak-esak sehingga para sahabat menyangkakan Abu Ubaidah telah meninggal dunia. Dan ternyata, Abu Ubaidah meninggal dunia selepas daripada itu yang telah memberikan kedukaan yang besar kepada Umar.

Begitulah kehidupan…

Seringkali kita mengizinkan orang yang disayangi memenuhi keinginannya meskipun kita yang terluka. Ianya ibrah daripada kisah Nabi Yaakob yang meraikan keinginan Nabi Yusof meskipun dia kehilangan Yusof untuk tempoh yang sangat lama. Bahkan ada yang menyatakan buta mata baginda kerana tangisan kesedihan dan kerinduan kepada Yusof. Umar mengizinkan Abu Ubaidah kekal berada di Syam walaupun gerak hatinya menyatakan yang Abu Ubaidah akan pergi meninggalkannya. Ada yang mempunyai ‘gerak hati’ terhadap orang yang sangat disayanginya. Ianya fitrah perasaan yang Allah kurniakan kepada para hambaNya.

Terkadang saat sedih mencengkam, kita memilih untuk berundur, menyendiri dan merawat luka di hati. Ianya terapi antara hamba dengan Tuhannya. Kehilangan itu sangat menyakitkan, malah amat melukakan. Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu.…

 

Dipetik daripada fb Dr Husairi Hussin.

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA