BILA HATI TIDAK LAGI TENANG

Pernah tidak ada beberapa waktu kita berasa tidak tenang? Semua perkara dirasakan tidak betul. Ada sahaja yang tidak kena. Paling teruk kita berasakan diri sangat malang berbanding orang lain.

Hati pula menjadi tawar, gelisah, cepat marah dan terlalu semosi. Entahlah. Kita sendiri tidak dapat membaca karakter diri sehingga perkara terakhir yang boleh dilakukan ialah menangis sepuas-puasnya.

Apa yang sudah jadi?

Sebenarnya semua ini berpunca daripada hati yang tidak tenang. Hati yang gundah tidak hanya disebabkan oleh dosa semata-mata tetapi ada beberapa perkara lain yang turut menyumbang kepada hati menjadi sendu dan tidak gembira.

 

SUKAR MEMAAFKAN

Tahu atau tidak, memaafkan akan membuatkan hati menjadi tenang. Tetapi hal inilah yang sukar dilakukan. Kita lebih rela menyimpan dendam malah lebih tegar bersama kemarahan yang bersarang dalam diri semata-mata untuk berasa puas hati!

Jujurlah, adakah hati menjadi tenang denganmenyimpan sebuah kemaafan?

 

MELENGAHKAN SOLAT

Betapa ramainya yang melengahkan solat sehingga adakala ia dilaksana dihujung-hujung waktu. Percayalah mereka yang melengahkan solat hatinya tidak akan tenang. Pegang itu tak kena, buat ini tak sempurna. Betapa Allah itu sayangkan hamba-Nya sehingga diberi peringatan melalui ‘perasaan’ ini agar kita terus alpa dibuai kesibukan dunia yang tidak pernah berakhir.  

Ketahuilah mereka yang melengahkan solat umpama melewatkan jawaban setiap doa yang dipinta saban waktu.

 

BURUK SANGKA

Sifat ini sangat mengundang ‘seronok’ sebab kita boleh bagi pelbagai tanggapan mengikut naluri dan gerak hati. Tambah hebat bila ramai pula yang ‘terpedaya’ dengan tanggapan yang kita bawa dan sebarkan ke seantero alam.

Tapi percayalah, seronoknya hanya sementara kerana lama-kelamaan akan timbul penyesalan dan rasa ‘berdosa’. Rasa berdosa itulah yang akan bermain di jiwa dan akhirnya membuatkan hati tidak lagi tenang kecuali setelah mendapat sebuah kemaafan.

 

Sesungguhnya mereka yang bahagia ialah yang memiliki hati yang tenang dan lapang. Rugilah mereka yang berlama-lamaan dengan hati yang gundah tanpa mahu mengubatinya kembali menjadi sebuah hati emas. Iaitu hati yang sarat dengan kebaikan yang mahu disebarkan kepada sesiapa sahaja.

Apa yang penting jagalah hubungan dengan Allah kerana DIA sahajalah yang dapat memberi sama ada bahagia atau derita. Allah jualah yang memegang hati kita dan hanya dia DIA mampu menentukan sama ada kita ini bahagia atau sebaliknya dalam menjalani sebuah kehidupan di dunia yang sementara.

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA