GEMPA DI SULAWESI: MUSIBAH ATAU DIDIKAN TUHAN?

Saat mendengar bumi Sulawesi ditimpa gempa membuatkan dunia kembali berduka setelah sekian lama aman daripada bencana buruk yang dahsyat.

Sukar untuk membayangkan keadaan mereka ketika berhadapan dengan waktu cemas yang boleh meragut nyawa bila-bila masa sahaja! Yang terselamat itu masih diberi rezeki oleh Allah untuk melafazkan rasa syukur dan menikmati hirupan nafas di kerongkong.

Dalam situasi genting ini muncullah suara yang mengatakan inilah musibah terhadap keburukan yang mereka lakukan! Bahkan suara itu berkata lagi, yang mereka itu layak menerima hukuman ini kerana telah mengundang murka Allah!

Wahai saudaraku, janganlah begitu. Jangan terlalu mudah menjatuhkan hukum kerana Allah sahaja yang layak melakukannya. Kita ini bukan sesiapa tetapi hamba yang terlalu banyak khilaf. Lalu, janganlah dikatakan mereka itu ditimpa bala tetapi sebenarnya Allah sedang mendidik.

Didikan Allah buat mereka tetapi menjadi peringatan buat kita yang melihat. Percayalah, dengan didikan itu membuatkan kita kembali muhasabah betapa jalan lurus yang sepatutnya kita jejaki itu sudah lama diam dan sepi. Betapa malam yang hening itu sudah lama tidak dikunjung dengan solat dua rakaat tetapi hanya ada tidur yang lena dan pulas. Betapa diri sendiri juga sedang berada di persimpangan dua identiti! Sudah tidak dapat membezakan jantina yang sepatutnya menjadi milik diri.

Lalu Allah yang Maha Penyayang menurunkan didikan itu kepada mereka untuk kita ambil pengajaran agar tidak alpa tetapi peka dengan setiap apa yang terjadi. Cukuplah menuding jari dan membilang keburukan mereka yang sedang dididik itu kerana hakikatnya Allah sangat menyayangi mereka berbanding kita yang mungkin dilupakan!

Percaya atau tidak, kitalah sebenarnya yang ditimpa musibah. Iaitu saat Allah melupakan kita dalam keselesaan nikmat yang diberi. Waktu itu tiada teguran daripada-Nya lagi sehingga kita akhirnya tenggelam dalam nafsu. Lemas dalam godaan dunia.

Kita hanya tersedar saat Allah benar-benar menurunkan musibah yang maha dahsyat yang sekali gus mungkin akan melenyapkan kita dari buminya ini. Renung-renunglah firman ini kerana setiap yang terjadi itu tidak sia-sia,

“Katakanlah, ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami…”(al-Taubah: 51)

Justeru, kembalilah kepada Allah Yang Satu. Jadikan didikan Allah buat mereka menjadi kekuatan untuk kita membina semula hubungan istimewa antara kita dan Maha Pencipta.  


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA