TAKUT MATI VS INGAT MATI

Ada kesan yang berbeza dalam hidup seorang yang takut mati dan dengan seorang yang ingat mati. Orang yang takut mati biasanya akan hilang semangat. Keceriaan hilang daripada wajahnya dan luntur semangat serta keberaniannya. Dalam satu hadis Nabi SAW yang panjang, Nabi SAW menceritakan bahawa;

“Akan tiba suatu masa umat Islam akan dipermainkan musuh-musuh Islam. Sabahat pun bertanya adakah kerana bilangan mereka sedikit? Jawapannya tidak, bahkan bilangan kamu ramai tetapi seumpama buih di lautan sahaja. Kenapa kita ditindas walaupun bilangan kita ramai? Kerana Nabi SAW berkata kita terkena penyakit 'al-wahhan' iaitu cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud)

Namun, orang yang ingat mati akan bersemangat. Bagaimana yang dikatakan mati boleh memberikan kita semangat? Mereka yang ingat mati sentiasa menghayati ucapan ‘istirja’’ –  ”Innalillahiwainna ilahiroji'un” yang bermaksud, “Kami milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan.”

Jadi, jika kita tahu bahawa kita akan kembali kepada Allah, maka kita akan membuat persiapan. Inilah kesan positifnya. Kita akan memperbanyakkan ibadah sama ada ibadah asas, sunat dan umum.

Kita juga akan menjaga hubungan dengan Allah dan juga dengan manusia. Kita juga akan bekerja bersungguh-sungguh dan tidak berbuat sambil lewa kerana yakin kerja itu ibadah. Malah kita akan sentiasa memperelok pekerjaan atas kesedaran pekerjaan tersebut akan dipersembahkan kepada Allah SWT dan DIA menyukai kerja yang terbaik ( ‘itqaan’).

Jadi, ternafilah pendapat yang mengatakan jika ingat mati, orang akan jadi tidak bersemangat, tidak produktif dan tidak memberi kerja berkualiti. Sebaliknya, ingat mati itulah yang akan membantu seseorang meningkatkan kualiti dan produktiviti kerjanya.

Orang yang ingat mati akan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Orang yang ingat mati tidak akan suka bertangguh-tangguh kerana sedar yang mati boleh datang tiba-tiba. Dia tidak mahu terhutang dengan majikannya kerana gagal menyiapkan kerja pada hari yang ditetapkan tetapi mati telah datang menemuinya.

Ada orang berpendapat sekiranya kita ingat mati, kita tidak produktif kerana hanya ingin berada di masjid untuk solat, baca Quran dan berzikir sahaja. Ini merupakan satu kesalahan yang besar dalam pemahaman Islam kita. Saya pernah berdepan dengan orang ini, yang bertanggungjawab memimpin bahagian sumber manusia dalam organisasi Islam yang besar.

Sedarlah, bahawa ibadah dalam Islam terbahagi kepada 3 iaitu: Ibadah asas, ibadah sunat, yang banyak berkaitan dengan Allah (habluminallah), contohnya solat, baca Quran, berzikir dan sebagainya. Manakala ibadah yang ketiga ialah Ibadah umum, contohnya pekerjaan seharian kita yang memberi kebaikan kepada diri dan manusia lain (habluminannas).  Hakikatnya, kerja juga satu ibadah sekali gus boleh dijadikan satu persiapan untuk menghadapi kematian.

Jika kita sedar hakikat ini, adakah kita akan buat kerja sambil lewa ketika di pejabat?  Tidak mungkin.

Sebab itu Rasul SAW sering mengingatkan, “Jika kamu ingin solat, solatlah seumpama solat kamu yang terakhir.” Begitulah juga dengan setiap pekerjaan lain yang kita dilakukan. Jika kita ingat mati, kita pasti melakukannya dengan terbaik sama ada ketika melayan ahli keluarga atau sahabat atau majikan, bahkan kepada siapa sahaja.

BUKU BERKAITAN

ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA