SUNNAH DALAM BERSAHABAT

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT. Manusia juga merupakan khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir bumi ini berpandukan apa yang telah termaktub dalam al-Quran. Setelah wafatnya junjungan nabi Muhammad SAW, maka kitalah yang menjadi penyambung kepada perjuangan baginda.

Sebagai manusia, kita tidak tidak mampu untuk hidup seorang diri. Bahkan kita saling memerlukan di antara satu sama lain untuk meneruskan kehidupan. Di sinilah timbulnya bagaimana cara untuk kita mencari rakan, teman ataupun sahabat yang boleh membawa kita menuju keredhaan Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat (49) ayat ke – 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

 

Memahami Ayat

Salah satu saranan dalam ayat di atas adalah supaya manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa, suku kaum bahkan agama sekalipun. Dalam proses mengenali ini akan ada sebahagian kecil manusia terlalu memilih dalam mencari sahabat. Lalu mereka akan dianggap sebagai seorang yang cerewet dan sukar untuk didekati. Mereka yang bersikap sedemikian biasanya tidak mempunyai ramai sahabat. Sikap sebeginilah yang sepatutnya dielakkan dan tidak wajar untuk dijadikan amalan. Ia juga boleh menimbulkan rasa ketidaksenangan orang lain. Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak mengetahui Islam sebenarnya telah menggariskan panduan untuk memilih di dalam menjalinkan persahabatan.

Intisari Penting

Imam Ghazali ada menyatakan di dalam kitab Hidayatul Salikin: “Jika seseorang itu ingin memilih seseorang yang lain untuk dijadikan sahabatnya maka pilihlah dengan lima syarat, iaitu: 

Orang yang berakal: Apabila kita berkawan dengan orang yang jahil ia akan sentiasa menimbulkan persengketaan, perselisihan dan kurang senang di antara kedua-dua pihak.

Cantik peribadi dan akhlaknya: Kita hendaklah menghindarkan diri daripada bersahabat dengan orang yang tidak elok peribadi dan akhlaknya kerana ia akan mempengaruhi kita ke arah perilaku yang tidak baik.

Orang yang soleh: Janganlah sesekali kita berkawan dengan orang yang fasik (fajir) kerana mereka sentiasa melazimi dan mengekalkan dosa yang besar dan kecil.

Jangan berkawan dengan orang yang terlalu cinta kepada dunia: Iaitu melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah sehingga meletakkan cinta kepada dunia lebih tinggi dari cinta Allah SWT.

Orang yang benar perkataannya: Jauhilah diri kita daripada berkawan dengan orang yang gemar berdusta. Ini kerana orang yang sentiasa berdusta itu tidak lain hanyalah menipu dirinya sendiri sedangkan dia tidak menyedarinya.”

Memang agak sukar untuk mencari sahabat seperti yang telah dijelaskan oleh Imam Ghazali. Bahkan ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi di zaman yang penuh dengan fitnah serta maksiat di sana-sini. Salah satu di antara cara untuk kita mudah mengenali orang yang soleh ialah dengan mencantikkan akhlak serta sifat yang ada pada diri sendiri terlebih dahulu. Apabila nilai-nilai murni dan baik ada dalam diri kita maka secara tidak langsung kita akan menghindari segala anasir yang tidak sihat. Dari sinilah Allah SWT akan membuka jalan dan mempertemukan kita dengan orang yang memiliki keinginan serta perlakuan yang baik seperti kita.

Dalam hal ini, Al-Qamah juga pernah berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”

Melindungi kita daripada sebarang bahaya dan musibah. Iaitu merasai kesusahan disaat kita sedang mengalaminya.

Mudah memberikan bantuan serta menghulurkan pertolongan tanpa sebarang balasan dan bayaran.

Menjaga dan memelihara segala kekurangan yang ada pada diri kita dengan tidak membukanya dikhalayak atau kepada orang lain.

Sentiasa memberi teguran dan nasihat kepada kita. Disamping itu dia juga sering mengingatkan kita tentang tanggungjawab kepada Tuhan.

Tidak membela terhadap kesalahan yang kita lakukan sebaliknya menyaran kita untuk berubah dan memperbaiki kesalahan tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya kita ingin memilih dalam bersahabat maka buatlah pilihan yang sepatutnya. Tidak salah untuk memilih, akan tetapi janganlah terlalu cerewat sehingga menyusahkan diri kita sendiri. Sebagai contoh, jika kita tidak ramai sahabat kerana terlalu memilih, bagaimana nanti jika orang lain pula terlalu cerewet dan memilih untuk bersahabat dengan kita.

 

Kesimpulan

Ingatlah wahai manusia, hidup kita di dunia saling tumpang-menumpang. Iaitu saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak kira di masa senang atau susah, lebih-lebih lagi disaat kita amat memerlukan seorang insan bernama sahabat. Maka jadilah muslim yang baik, yang sentiasa memberi manfaat untuk diri sendiri dan orang lain agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Dalam satu hadis, daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Diumpamakan sahabat yang soleh dan sahabat yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kamu, sama ada kamu membeli minyak wangi tersebut atau hanya mencium bau harumannya sahaja. Manakala tukang besi pula boleh menyebabkan rumah kamu atau baju kamu terbakar, atau kamu mendapat bau busuk darinya.” HR Bukhari


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA