Galakan Untuk Menjadi Al-Wasil

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا انْقَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

(التخريج: سنن الترمذي , كتاب البر والصلة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم , باب ما جاء في صلة الرحم , عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه , وقَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ)

Daripada ‘Abdullah bin 'Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturrahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturrahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturrahim, beliau segera menyambungkannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, No: 5991, Abu Dawud, No: 1697, at-Tirmizi, No: 1908, Ahmad, No: 6496, lafaz hadith riwayat at-Tirmizi)

Silaturrahim adalah salah satu tunjang dalam islam. Nabi Muhammad S.A.W sangat menitik beratkan hubungan silaturrahim seperti yang dapat kita lihat dalam hijrah baginda ke Madinah. Baginda telah menyatukan kaum ansar dan muhajirin. Sifat persaudaraan ini telah meresap masuk dalam jiwa setiap sahabat baginda S.A.W sehingga mereka berjaya membentuk sebuah kerajaan islam yang sangat besar.

Sangat dituntut bagi kita sebagai umat baginda Rasulullah S.A.W untuk mementingkan silaturrahim. Oleh yang demikian kita hendaklah menjadi al-wasil seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadith ini. Mementingkan silaturrahim adalah amat dipuji memandagkan sifat al-wasil ini tidak mengharap sebarang balasan kecuali mengutamakan silaturrahim dan persaudaraan.

Seseorang Muslim hendaklah terus menghubungkan silaturrahim terutama dengan kaum kerabat dan saudaranya yang lain meskipun mereka tidak menerima tindakannya itu dengan kebaikan. Islam mengajar bahawa setiap kejahatan yang dilakukan terhadap seseorang Muslim tidak boleh dijadikan penyebab terputus silaturrahim dan kebaikan.

 


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA