KOMUNIKASI DALAM RUMAH TANGGA

Saya tak pandai nak menulis. Tapi terasa nak berkongsi tentang keberkesanan tips yg kami amalkan. Sebab bila baca luahan, rata-rata masalah rumahtangga sebab komunikasi yg kurang berkesan. Bukan kata kami ni tak pernah gaduh, pernah juga namun Alhamdulilah mudah nak selesai. Insyaallah moga bermanfaat pada semua, samada sudah berkahwin atau belum.

Aku dan suami berusia 30 tahun dan baru mempunyai seorang anak. Kami kahwin waktu masih belajar, sekarang baru 3 tahun melayari bahtera rumahtangga, cewah. Suami kerja dah sekarang. Kerja aku uruskan anak, suami dan rumah, suri rumah lah tu. Okey, Terus pada cerita.

Semuanya bermula sebelum kami berkahwin lagi. Tok kadi merangkap imam taman panggil kami ke rumahnya. Kami borak-borak dan minum- minum macam biasa. Lepas tu tok imam tu pun minta bakal suami baca al -fatihah. Kemudian tok imam pesan pada kami. Katanya “jangan lupa hidupkan al-Quran dalam rumahtangga, Al-Quran ni mengeratkan hubungan suami isteri dalam rumah tangga”. Perghh, Memang menusuk ke hati masa ni. Bila dengar ayat ni rasa biasa je kan. Tapi sebab ucapan dari tok imam yg ikhlas tu yang buat terasa dalam sangat. Aku tak akan lupa kata-kata ni insyaallah. Petuanya Al – Quran… Tok imam tak cakap pasal jamu ke, wang ke, makanan ke, movie ke.

Jadi kami berazam nak cuba istiqamah dengan Quran. Tapi apa yang kami buat ni sikit saje, ramai lagi yang buat lebih dan dengan cara yang berlainan. Memang tak banyak, tapi alhamdulillah dapat istiqamah. Lepas kahwin kami tak dapat duduk sekali. Aku baru habis buat lab, jadi aku tulis thesis kat rumah mak aku. Manakala suami ada sikit lagi yang nak dihabiskan. Perhubungan jarak jauh ni suami kena travel 2 jam untuk jumpa aku, jadi kami jumpa hujung minggu sahaja. Dalam kesibukan suami siang masuk lab. Malam mengajar tuisyen dan kadangkala kerja katering. Alhamdulillah kami diberikan kesempatan untuk tadarus bersama setiap hari. Samaada selepas subuh atau malam. Kami jumpa melalui skype dan tadarus Quran sama-sama. Ya, kami guna skype untuk tadarus sama-sama. Kalau Line internet hampeh. Aku call suami guna telefon rumah dengan izin mak. Biasanya sehari kami baca setengah juzuk (10 muka surat), 5 muka surat seorang. Bila suami balik, baru dapat tadarus sama depan-depan. Dan lepas mengaji kami buat meeting sikit berkenaan rumahtangga kami, kewangan dan lain-lain. Kalau jumpa dapatlah selak tafsir. Biasanya untuk tafsir kami baca dan cari kat youtube untuk lebih faham lagi.

Alhamdulilah lepas sahaja 2 bulan, aku mengandung. Dan alhamdulillah, syukur sangat dapat khatam Quran 3 kali waktu mengandung walaupun aku dan suami PJJ. Bila anak dah lahir, kami masih PJJ waktu ini agak mencabar sebab kadangkala waktu mengaji anak memangis nak susu, nak peluk nak macam-macam si comel ni. Tapi kami cuba juga. Walaupun bilangan muka surat kurang. Tapi berjaya juga istiqamah. Bila anak dah 6 bulan kami dapat semula tadarus setengah juzuk sehari. Sebab anak makin rileks. Masuk umur anak 2 tahun. Kami dapat hidup serumah. Suami dapat kerja yang dekat sangat dengan rumah, 5 minit je. Setiap pagi lepas suami balik subuh kami tadarus sama-sama. Lepas tu aku masak bekal suami, sempat dhuha dan pergi kerja.

Apa hikmahnya ya. Sebenarnya memang banyak cabaran hidup kami ni. Bila fikir balik ada menitiskan air matalah. Cuma syukur, walau cabaran datang, aku masih menghormatinya. Aku tak terdaya nak angkat suara padanya. Dah duduk serumah pun rindu padanya.. Suami pun cepat memahami aku. Subhanallah, rasa bahagia dalam hati yang paling dalam ni. Tipulah tak gaduh, cabaran ada, cabaran memedihkan. Aku tak nak cerita yang tu lebih. Cuma aku makin faham kenapa tok imam cakap macam tu. Bila kita tadarus dengan suami. Bila suami baca tersalah. Isteri akan tegur. Isteri tegur benda yang betul, suami tak boleh nak ego. Sebab fakta itu lah cara bacaan. Begitu juga bila isteri salah bacaan suami tegur dan ajar. Sekaligus tadarus ini berjaya menurunkan ego suami isteri. Bila ego dah kurang, rasa hormat dan menghargai tu makin bertambah. Kemudian bila sama-sama tak sure bacaan. Kami akan rujuk buku, YouTube, atau suami akan tanya kawan-kawan dia. Di sini dah ada unsur musyawarah, perbincangan. Dalam rumahtangga kena mudah diajak berbincang dan pandai berbincang. Kemudian bila kita dengan bacaan pasangan kita, boleh melatih kita menjadi pendengar yg baik. Jangan lupa letakkan segelas air. Lepas mengaji tu minum sama-sama. Niatlah apa-apa pun. Tambah lagi dengan solat tahajjud sama-sama. Aku jarang dapat jemaah dengan suami sebab Alhamdulilah suami akan berjemaah di masjid. Dan kalau anak behave baru aku pergi masjid atau suami bawa anak.

Istiqamah ini tidak lah menjanjikan tiada ujian pada kita. Hidup akan ada ujian. Tapi macam mana cara kita menanganinya. Fuh.. Allah itu maha kuasa.

Maaf sangat andai ada yg terasa. Aku bukan niat nak riak. Cuma nak berkongsi. Aku sendiri tak dibesarkan dalam keluarga yg tahu baca Quran. Mak abah aku merangkak juga awalnya. Aku dengar sendiri macam mana budak kecik gelak dengar abah aku baca muqaddam. Aishh. Rasa panas hati ni. Tapi alhamdulillah. Berkat usaha mak abah. Mak sekarang dah jadi ustazah kat taman. Ajar mengaji.

Ada ceramah yang aku dengar, bila belum lancar membaca Quran. Jangan target berapa muka surat dulu. Target berapa minit kita baca. Mungkin boleh set dengan pasangan. Setiap hari 15 minit ke, setengah jam ke. Hanya untuk Quran. Mendalami Quran. Lagi elok kalau berguru dengan sesiapa. Mungkin boleh berguru seminggu sekalikan. Maybe kita selalu fikir waktu tak ada nak baca Quran ni. Tapi kita ingatkan diri kita, Allah yg kawal waktu tu, kalau ada masa untuk Allah, pasti Allah mudahkan kerja kita (ya.. janji ini pasti). Yang penting kita usaha buat. Maaf andai nampak macam aku mendesak. Aku nak kita sama-sama rasa indahnya perasaan ini. Dan ini lah salah satu kunci bahagia rumahtangga. Ramai lagi yg buat lagi banyak dan elok dari kami. Jom kongsi ya

Doakan kita semua istiqamah ke jalan Allah.

Ummu Furqan

Artikel asal : https://iiumc.com/al-quran-dan-komunikasi-dalam-rumahtangga/


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA