MENELADANI SAYIDINA UMAR TAKUTKAN RASUAH

Setelah Saidina Umar al-Khattab menduduki takhta khalifah, beliau pernah didatangi tetamu dari Azerbaijan. Sesudah menunaikan solat Subuh, Umar mengajak tetamu berkenaan ke rumahnya.

Apabila tiba di rumah, Umar segera meminta isterinya membawakan makanan untuk tetamu tersebut. Namun begitu, Ummi Kalsum menyatakan bahawa mereka tiada makanan kecuali roti dan garam.

“Tidak mengapa,” jawab Saidina Umar.

Kemudian beliau dan tetamu itu menikmati hidangan roti dan garam seperti yang dihidangkan. Selesai makan, Umar kemudian bertanya akan maksud kedatangan tetamu itu. Lantas dijawab bahawa dia hanyalah utusan Azerbaijan dan pemerintahnya telah memintanya membawa hadiah kepada Umar.

Umar mengarahkan tetamunya itu membuka bungkusan tersebut. Setelah dibuka, ternyata ia berisi gula-gula.

“Gula-gula ini khusus buatan Azerbaijan,” terang tetamu itu.

Kemudian Umar bertanya, “Apakah semua orang Muslim mendapat kiriman gula-gula ini?”

Utusan Azerbaijan itu termenung seketika. Dia menjawab tidak. Gula-gula berkenaan adalah hadiah khusus buat Umar selaku Amirul Mukminin.

Kata-kata utusan itu ternyata tidak disenangi Umar dan membuatnya marah. Lantas beliau memerintahkan utusan itu untuk membawa gula-gula tersebut ke masjid di mana semua Muslim berada di sana.

“Barang itu haram masuk ke perutku kecuali jika orang Muslim memakannya juga. Dan kamu cepat-cepatlah kembali ke negerimu. Katakan kepada pemerintah yang mengutusmu, jika diulangi lagi dan akanku pecat dia daripada jawatannya!”

Kisah tersebut menunjukkan contoh keperibadian mulia yang dimiliki oleh khalifah Islam. Begitu juga dengan kehidupan kita kini. Segala-galanya perlu kembali kepada diri sendiri. Sikap dan reaksi kita dalam menangani rasuah itulah yang paling utama.

Percayalah… dalam apa jua kemungkaran sekalipun, andai kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, pasti Dia akan membantu menjaga kita.


ARTIKEL MESTI BACA
ANDA MUNGKIN SUKA